a:hover {font-size: 22px; font-weight: bold;text-decoration: none;}

Khamis, 25 Ogos 2011

berita gembiara buat SABIT






SABIT adalah seorang sahabat Nabi Muhammad yang baik hati. Apabila Sabit mendengar ada seorang sahabat lain yang terpaksa berpuasa setiap hari kerana tidak cukup makanan, Sabit berasa simpati. Selepas mendengar berita mengenai sahabatnya itu, beliau pulang ke rumah. Di rumah, beliau memberitahu isterinya dan beliau bercadang mahu menjamu makanan kepada sahabat itu semasa waktu berbuka puasa nanti.

“Assalamualaikum,” ucap Sabit kepada isterinya yang berada di rumah.

“Waalaikumsalam,” jawab isterinya yang pada waktu itu menguli tepung untuk membuat roti.

“Malam ini kita ada tetamu istimewa,” kata Sabit yang baru sahaja sampai di muka pintu rumah.

“Siapakah orang itu?” tanya isterinya pula.

“Malam ini saya membawa seorang tetamu. Tetamu itu saudara kita juga. Beliau terpaksa berpuasa pada hari ini kerana tidak cukup makanan,” jelas Sabit kepada isterinya.

“Saya mahu kamu sediakan makanan istimewa bagi tetamu ini berbuka puasa nanti. ” kata Sabit kepada isterinya.

“Saya hendak pesan satu perkara. Semasa tetamu itu makan, kamu padamkan lampu pelita?” kata Sabit lagi.

“Mengapa? Sekiranya lampu pelita itu terpadam, bagaimanakah tetamu itu mahu menjamah makanannya nanti?” tanya isterinya pula.

Isterinya tidak mengetahui rancangan sebenar Sabit mahu berbuat demikian. Kemudian, beliau menjelaskan perkara sebenar kepada isterinya.

“Kamu buat-buat sahaja membaiki lampu pelita itu. Biarkan tetamu kita itu makan sehingga kenyang,” kata Sabit kepada isterinya.

Isterinya kebingungan selepas mendengar penjelasan suaminya. Tangannya mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Satu lagi pesanan saya, kamu jangan makan makanan yang terhidang itu nanti. Sebaliknya kita berpura-pura mengambil makanan dan mengunyah makanan itu,” pesan Sabit kepada isterinya.
“Baiklah, saya turuti kata-katamu,” jawab isterinya.

Tibalah masanya berbuka puasa. Sabit sekeluarga menyambut baik kedatangan tetamu itu.
Sebaik sahaja tetamu itu berbuka puasa dan makan, lampu pelita di rumah Sabit dipadamkan oleh isterinya.

“Maafkan saya. Lampu minyak tanah di rumah kami ini mungkin rosak. Saya cuba membaikinya. Silalah makan. Jangan malu-malu. Makanan ini saya sediakan bagi kita makan bersama-sama,” kata isteri Sabit kepada tetamu itu.
Kemudian isterinya berpura-pura membaiki lampu pelita itu.
“Silakan makan. Sebentar lagi eloklah lampu pelita itu. Tetapi sekarang kita terpaksa makan dalam keadaan gelap ini,” kata Sabit kepada tetamunya itu.

Tetamu itu tersenyum lebar. Tanpa berlengah masa, tetamu itu menikmati makan malam itu dalam keadaan gelap gelita.

Sabit dan isterinya tetap duduk menemani tetamu itu makan. Tetamu itu tidak mengetahui bahawa Sabit dan isterinya tidak makan langsung dan hanya berpura-pura mengambil dan mengunyah makanan itu.

Pada malam itu, tetamu itu makan makanan yang dihidangkan oleh keluarga Sabit sehingga kenyang.
“Terima kasih wahai Sabit. Saya sudah kenyang pada malam ini. Inilah hidangan istimewa yang pernah saya makan selama ini,” kata tetamu itu kepada Sabit.
Kemudian tetamu itu pulang ke rumah.

Pada keesokan hari, Sabit pergi berjumpa Nabi Muhammad yang tersenyum melihat kedatangannya.
Kemudian Nabi Muhammad berkata kepada Sabit, “Ada berita gembira yang mahu saya sampaikan kepada kamu.”

“Apakah berita gembira itu?” tanya Sabit kepada Nabi Muhammad.

“Tahukah kamu bahawa Allah sangat menghargai perbuatan kamu memberi layanan baik kepada tetamu yang datang ke rumah kamu semalam,” kata Nabi Muhammad kepada Sabit.
Begitulah sifat baik dan pemurah Sabit. Beliau dan isterinya terpaksa berlapar kerana mahu tetamu yang datang itu makan sehingga kenyang. Mereka suami isteri lebih mengutamakan orang lain walaupun mereka terpaksa berada dalam kesusahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan